Random Questions about Capoeira

Wednesday, March 20, 2013

Hati di sebalik cermin

“Lepaskan saja dia dari hidupmu Juna.”
 
“Masakan dapat aku lepaskan dia dari hidupku jika hatiku telah mencengkam kuat segala-galanya tentang dia.” 

“Jadi kau mahu tersiksa membiarkan dia bermaharajalela dalam hati kau sedangkan kau tahu yang dia cuma mencintaiku kini? Hanya aku. Hanya aku yang bermakna dalam hidupnya kini Juna.” 

Mata mula berkaca. 

“Kau harus faham, aku punya kehidupan yang jauh lebih sempurna dari hidup kau. Baik dari segi harta, pelajaran mahupun rupa. Dia sendiri mengatakan perkara yang sama kepada aku. Hairan sungguh bagaimana dia boleh jatuh hati kepada kau sebelum ini. Sudahlah taraf keluargamu tidak setanding keluarganya, malahan dari segi rupa juga tidaklah sesempurna manapun kau.” 

Mata yang berkaca tadinya dikecilkan sambil bibir tersenyum nipis. Tanpa dipinta, air mata mengalir menuruni pipi Juna. 

“Tidak kiralah, sebaik mana pun dirimu, sekuat mana pun cinta kau terhadapanya, setia mana pun kau kepadanya, setulus mana pun kau menyayanginya, kau harus sedar yang aku jauh lebih baik dari kau, jauh lebih baik untuk dia.” 

“Wajah kau cantik, tutur bicaramu lembut sehingga mampu menawan hati mana-mana lelaki. Namun jika kesemua mereka punya kebolehan membau daging hati kau, aku yakin kesemuanya akan menjauhkan diri dari kau. Kau tahu mengapa?” 

Elisa mengerutkan keningnya.  

“Daging hati kau. Baunya busuk sebusuk bangkai haiwan yang mati sehingga dihinggap lalat.”
 

Bagai ditampar kuat dengan pernyataan Juna, riak wajah Elisa serentak berubah.
 
“Aku doakan kau dengan dia bahagia. Aku anggap ini ketentuan takdir, namun kau dan dia harus ingat, kita semua sama sahaja. Ciptaan Allah s.w.t. Kau tidak punya hak untuk merendahkan mana-mana ciptaan-Nya.”

Selepas 8 tahun…

“Kau apa khabar Elisa?”

“Aku sihat Alhamdulillah.”

“Maaf aku bertanya, apa khabar dia pula?”

Belum sempat bersuara, tangisan mendahului kata-kata Elisa. Menyentakkan sanubari Juna.

“Elisa?”

Juna memerhati Elisa lama. Mata gadis bermata bundar itu nyata melantunkan isi hatinya. Bagaikan sengsara dengan sesuatu. Kehidupannya mungkin.

“Aku tak tahu dari mana puncanya, dari mana datangnya sakit itu, dia kini terlantar di rumah bagai mayat hidup. Perit hati aku melihat keadaannya Juna.”

Hati Juna bagai dijentik kuat.

“Sakit apa itu?”

"Puas aku cuba mencari punca penyakitnya. Namun tidak diketahui. Puas dukun aku berjumpa, juga tidak diketahui puncanya.”

Juna terdiam.

“Dari 90 kg badannya, kini turun ke 60 kg Juna. Dalam masa yang singkat. Kau bayangkan.”

“Astaghfirullah hal’azim.”

Sekali lagi Elisa menghamburkan airmatanya. Namun kini di dalam pelukan Juna.

Sesungguhnya tiada siapa yang mampu menduga dan melawan kuasa Allah s.w.t.
 
Xoxo,
Gill