Baik atau
buruk penghujungnya, yang pasti – ianya penghujung.
Mungkin
penghujung sesuatu pengharapan.
Mungkin
penghujung sesuatu cerita.
Mungkin
penghujung perhubungan.
Mungkin
penghujung satu kepercayaan.
Hanya satu
penghujung yang bisa membawa kita ke dimensi yang lain.
Penghujung
nafas, nyawa… dan ajal.
Bulan : Ah, bertemu teman cerita baru
nampaknya aku ini hari.
Melur senyum
tipis.
Bulan : Kau Melur bukan?
Melur : Ya. Aku mengganggu kau kah?
Bulan : Tidak. Aku senang sekali kau ke sini.
Apa cerita kau mahu kongsikan? Atau kau mahu aku berkongsi cerita sama kau kah?
Melur : Banyak ya cerita kau?
Bulan : Bergantung. Ini hari kau datang
bercerita pada aku. Dan aku akan memerhati kau dari jauh kelak. Jika ada yang
aku bisa kongsikan teman-temanku yang lain, akan aku kongsikan. Pada kau, jika
kau mahu aku kongsikan apa-apa kisah. Akan aku ceritakan.
Melur : Bisa aku bercerita ini hari? Dan bisa
aku tinggal semalaman atau lebih lama bersama kau?
Bulan : Bisa wahai Melur. Tapi kau sedar,
waktu siang aku lelap seharian bukan?
Melur : Ya. Bukan masalah bagi aku. Siang
juga aku akan hilang di balik papan dan tanah.
Bulan diam
memikir.
Melur : Kau tahu Bulan. Aku mahu bercerita
tentang rakanku yang amat aku kasihi.
Diam.
Bulan : Dan aku sedang mendengar dengan
sepenuhnya Melur.
Melur : Si gadis punya seorang kekasih yang
aku sayangi sepenuh hati. Melebihi dirinya sendiri. Adakala, aku lihat si gadis
bagai hamba cinta. Akan tetapi cintanya ternoda dengan penipuan dan kecurangan.
Hancur hatinya. Tapi masih mampu diterima kerana itu lumrah percintaan. Cuma,
bagi seorang gadis yang menganggap cinta itu sesuatu yang suci, sukar baginya
untuk bertemu cinta yang lain.
Bulan : Lantas?
Melur : Lantas, si gadis bersendiri. Lama
bersendiri, si gadis bertemu cinta baru. Sangkanya itu cinta terakhirnya.
Bulan : Rupa-rupanya bukan?
Melur : Cinta kali ini, ternoda dengan penipuan,
kecurangan. Dan bukan itu sahaja. Mahkota teragungnya diragut. Kegadisannya
diragut. Tanpa belas kasihan.
Bulan : Aku bersimpati. Itu adalah sesuatu
yang jijik.
Melur : Ya, aku turut sama simpati. Hidupnya
makin sulit semenjak itu. Jiwa makin kacau dan kusut. Pelbagai dugaan lain
turut sama datang menyesakkan jiwa, menguji kesabaran. Cinta pertama tiba-tiba
hadir kembali. Menagih cinta, makin mengusutkan fikiran. Si gadis tak mahu
diganggu lantas diceritakan perit dan duka jiwanya. Namun, cinta pertama tanpa
simpati turut meragut kegadisannya. Si gadis makin hilang dalam kewarasan
hidup.
Bulan : Ah! Sulit. Apa tidak punya rasa perikemanusiaan
kedua lelaki itu?
Melur : Aku tahu. Si gadis kemudian cuba
menjalani hidup dengan normal walau setiap langkah kaki yang berderap atas muka
bumi ini bagai memijak kaca tanpa menyarung sepatu. Si gadis ketemu seorang
jejaka yang fikirnya budiman dan mampu menjadi imamnya.
Bulan : Jangan kau bilang dia lakukan perkara
jijik yang sama.
Melur : Tidak. Namun, sepanjang bersama si dia
yang fikirnya budiman itu, si gadis makin menjadi terdera dengan pelbagai konflik
jiwa dan emosi.
Bulan : Apa sulit benar kisah cinta dia?
Melur : Aku juga fikir begitu.
Bulan : Lantas?
Melur : Lantas hubungan itu tidak lama. Nasib
kerap tak menyebelahinya. Ada satu ketika, si gadis dirompak. Matanya ditutup
rapat. Tangannya diikat. Si gadis diugut bunuh waktu perompak itu memegang
sebilah pisau pemotong daging.
Bulan : Selamatkah si gadis selepas itu?
Melur : Selamat. Namun si gadis hidup dengan
ketakutan sementelah itu. Tidur malam terganggu dengan kelibat lembaga hitam
yang memegang pisau pemotong daging. Sekeliling biliknya. Sekeliling rumahnya.
Setiap langkahnya terasa bagai ada yang mengekori bersama sebilah pisau pemotong
daging. Waktu tidurnya, bagai ada memegang, mengikat erat lengannya cuba
meragut kegadisannya, cuba membunuhnya.
Bulan : Ah! Sulit. Rosak mentalitinya.
Melur : Ya, sehingga suatu hari. Si gadis
bertemu seorang lagi jejaka.
Bulan : Lagi? Dan tambah menyulitkan
hidupnya?
Melur : Tidak. Si jejaka itu menyayanginya
sepenuh hati. Cuba menyelaminya sepenuh hati. Cuba memahaminya sepenuh hati. Semakin
dalam diselami hatinya, semakin jauh menyelongkar kisah dirinya, semakin tinggi
cuba difahami hatinya – semakin kedua mereka ke dimensi cinta yang dalam. Namun
pantang si jejaka itu tanpa sedar terlukakan hati si gadis, terasa retak hatinya.
Hingga suatu masa, satu pertelingkah terjadi. Hati yang sedikit-sedikit retak
menanti belah. Namun tanpa diduga, retak hati si gadis terus hancur. Hancur berkecai.
Berkecai hingga hatinya hilang dan lenyap menjadi debu berkaca. Si jejaka
ditinggalkan.
Bulan : Ah! Apa saja salah si jejaka?
Melur : Salah si jejaka, tersalah memilih dan
menyayangi gadis yang telah rosak hidupnya, rosak jiwanya, rosak hatinya, rosak
pedomannya.
Bulan : Lantas, apa jadi pada si jejaka? Dan
apa jadi pada si gadis?
Melur : Kau lihat sana?
Melur
tundingkan jarinya pada seorang jejaka tampan yang sedang bersujud di atas
sejadah.
Melur : Dialah yang ditinggalkan.
Bulan : Tampan.
Melur
senyum manis.
Melur : Ya, tampan. Setampan hatinya.
Setampan jiwanya.
Bulan
: Mana pula si gadis?
Melur
senyum lama.
Melur : Si gadis tak mampu membuat si jejaka
menangis lagi. Si gadis tak mampu berasa sedih acapkali bertelagah dan
meninggikan suara pada si jejaka. Jiwanya rasa tersiksa dan terguris. Lantas
suatu malam. Si gadis tekad meninggalkan si jejaka.
Bulan : Si jejaka rela melepaskan?
Melur : Terpaksa melepaskan.
Melur
menjeling ke arah Bulan.
Melur : Dan si jejaka takkan bisa ketemu si
gadis lagi. Kerna si gadis sedang duduk bersebelah Sang Bulan bercerita kisah
hidupnya.
Si
jejaka : Semoga engkau tempatkan Melur di kalangan orang yang beriman
Ya Allah. Amin…
Si
jejaka mengusap wajahnya usai solat Isyak sekaligus menyapu airmata yang
mengalir tanpa mampu ditahan mendoakan kekasih hatinya Melur, yang bersemadi di
liang hati semenjak awal pagi tadi.