Random Questions about Capoeira

Wednesday, September 03, 2014

Luna's Lover

Setiap permulaan pasti ada penghujungnya.
Baik atau buruk penghujungnya, yang pasti – ianya penghujung.
Mungkin penghujung sesuatu pengharapan.
Mungkin penghujung sesuatu cerita.
Mungkin penghujung perhubungan.
Mungkin penghujung satu kepercayaan.
Hanya satu penghujung yang bisa membawa kita ke dimensi yang lain.

Penghujung nafas, nyawa… dan ajal.
 
Bulan                :           Ah, bertemu teman cerita baru nampaknya aku ini hari.
 
Melur senyum tipis.
 
Bulan                :           Kau Melur bukan?
 
Melur                :           Ya. Aku mengganggu kau kah?
 
Bulan                :           Tidak. Aku senang sekali kau ke sini. Apa cerita kau mahu kongsikan? Atau kau mahu aku berkongsi cerita sama kau kah?
 
Melur                :           Banyak ya cerita kau?
 
Bulan                :           Bergantung. Ini hari kau datang bercerita pada aku. Dan aku akan memerhati kau dari jauh kelak. Jika ada yang aku bisa kongsikan teman-temanku yang lain, akan aku kongsikan. Pada kau, jika kau mahu aku kongsikan apa-apa kisah. Akan aku ceritakan.
 
Melur                :           Bisa aku bercerita ini hari? Dan bisa aku tinggal semalaman atau lebih lama bersama kau?
 
Bulan                :           Bisa wahai Melur. Tapi kau sedar, waktu siang aku lelap seharian bukan?
 
Melur                :           Ya. Bukan masalah bagi aku. Siang juga aku akan hilang di balik papan dan tanah.
 
Bulan diam memikir.
 
Melur                :           Kau tahu Bulan. Aku mahu bercerita tentang rakanku yang amat aku kasihi.
 
Diam.
 
Bulan                :           Dan aku sedang mendengar dengan sepenuhnya Melur.
 
Melur                :           Si gadis punya seorang kekasih yang aku sayangi sepenuh hati. Melebihi dirinya sendiri. Adakala, aku lihat si gadis bagai hamba cinta. Akan tetapi cintanya ternoda dengan penipuan dan kecurangan. Hancur hatinya. Tapi masih mampu diterima kerana itu lumrah percintaan. Cuma, bagi seorang gadis yang menganggap cinta itu sesuatu yang suci, sukar baginya untuk bertemu cinta yang lain.
 
Bulan                :           Lantas?
 
Melur                :           Lantas, si gadis bersendiri. Lama bersendiri, si gadis bertemu cinta baru. Sangkanya itu cinta terakhirnya.
 
Bulan                :           Rupa-rupanya bukan?
 
Melur                :           Cinta kali ini, ternoda dengan penipuan, kecurangan. Dan bukan itu sahaja. Mahkota teragungnya diragut. Kegadisannya diragut. Tanpa belas kasihan. 
 
Bulan                :           Aku bersimpati. Itu adalah sesuatu yang jijik.
 
Melur                :           Ya, aku turut sama simpati. Hidupnya makin sulit semenjak itu. Jiwa makin kacau dan kusut. Pelbagai dugaan lain turut sama datang menyesakkan jiwa, menguji kesabaran. Cinta pertama tiba-tiba hadir kembali. Menagih cinta, makin mengusutkan fikiran. Si gadis tak mahu diganggu lantas diceritakan perit dan duka jiwanya. Namun, cinta pertama tanpa simpati turut meragut kegadisannya. Si gadis makin hilang dalam kewarasan hidup.
 
Bulan                :           Ah! Sulit. Apa tidak punya rasa perikemanusiaan kedua lelaki itu?
 
Melur                :           Aku tahu. Si gadis kemudian cuba menjalani hidup dengan normal walau setiap langkah kaki yang berderap atas muka bumi ini bagai memijak kaca tanpa menyarung sepatu. Si gadis ketemu seorang jejaka yang fikirnya budiman dan mampu menjadi imamnya.
 
Bulan                :           Jangan kau bilang dia lakukan perkara jijik yang sama.
 
Melur                :           Tidak. Namun, sepanjang bersama si dia yang fikirnya budiman itu, si gadis makin menjadi terdera dengan pelbagai konflik jiwa dan emosi.
 
Bulan                :           Apa sulit benar kisah cinta dia?
 
Melur                :           Aku juga fikir begitu.
 
Bulan                :           Lantas?
 
Melur                :           Lantas hubungan itu tidak lama. Nasib kerap tak menyebelahinya. Ada satu ketika, si gadis dirompak. Matanya ditutup rapat. Tangannya diikat. Si gadis diugut bunuh waktu perompak itu memegang sebilah pisau pemotong daging.
 
Bulan                :           Selamatkah si gadis selepas itu?
 
Melur                :           Selamat. Namun si gadis hidup dengan ketakutan sementelah itu. Tidur malam terganggu dengan kelibat lembaga hitam yang memegang pisau pemotong daging. Sekeliling biliknya. Sekeliling rumahnya. Setiap langkahnya terasa bagai ada yang mengekori bersama sebilah pisau pemotong daging. Waktu tidurnya, bagai ada memegang, mengikat erat lengannya cuba meragut kegadisannya, cuba membunuhnya.
 
Bulan                :           Ah! Sulit. Rosak mentalitinya. 
 
Melur                :           Ya, sehingga suatu hari. Si gadis bertemu seorang lagi jejaka.
 
Bulan                :           Lagi? Dan tambah menyulitkan hidupnya?
 
Melur                :           Tidak. Si jejaka itu menyayanginya sepenuh hati. Cuba menyelaminya sepenuh hati. Cuba memahaminya sepenuh hati. Semakin dalam diselami hatinya, semakin jauh menyelongkar kisah dirinya, semakin tinggi cuba difahami hatinya – semakin kedua mereka ke dimensi cinta yang dalam. Namun pantang si jejaka itu tanpa sedar terlukakan hati si gadis, terasa retak hatinya. Hingga suatu masa, satu pertelingkah terjadi. Hati yang sedikit-sedikit retak menanti belah. Namun tanpa diduga, retak hati si gadis terus hancur. Hancur berkecai. Berkecai hingga hatinya hilang dan lenyap menjadi debu berkaca. Si jejaka ditinggalkan.
 
Bulan                :           Ah! Apa saja salah si jejaka?
 
Melur                :           Salah si jejaka, tersalah memilih dan menyayangi gadis yang telah rosak hidupnya, rosak jiwanya, rosak hatinya, rosak pedomannya.
 
Bulan                :           Lantas, apa jadi pada si jejaka? Dan apa jadi pada si gadis?
 
Melur                :           Kau lihat sana?
 
Melur tundingkan jarinya pada seorang jejaka tampan yang sedang bersujud di atas sejadah.
 
Melur                :           Dialah yang ditinggalkan.
 
Bulan                :           Tampan.
 
Melur senyum manis.
 
Melur                :           Ya, tampan. Setampan hatinya. Setampan jiwanya. 
 
Bulan                :           Mana pula si gadis?
 
Melur senyum lama.
 
Melur                :           Si gadis tak mampu membuat si jejaka menangis lagi. Si gadis tak mampu berasa sedih acapkali bertelagah dan meninggikan suara pada si jejaka. Jiwanya rasa tersiksa dan terguris. Lantas suatu malam. Si gadis tekad meninggalkan si jejaka.
 
Bulan                :           Si jejaka rela melepaskan?
 
Melur                :           Terpaksa melepaskan. 
 
Melur menjeling ke arah Bulan.
 
Melur                :           Dan si jejaka takkan bisa ketemu si gadis lagi. Kerna si gadis sedang duduk bersebelah Sang Bulan bercerita kisah hidupnya.
 
Si jejaka           :           Semoga engkau tempatkan Melur di kalangan orang yang beriman Ya Allah. Amin…
 
Si jejaka mengusap wajahnya usai solat Isyak sekaligus menyapu airmata yang mengalir tanpa mampu ditahan mendoakan kekasih hatinya Melur, yang bersemadi di liang hati semenjak awal pagi tadi.
 
 

3 comments:

Anonymous said...

Where might I get hold of your dazzling web theme -
I've never seen this befoire and it blpew me away.


Feel free to visit my blog post; e-liquid

Anonymous said...

Dia mati? Laaa..

Abg Sado said...

Apa salah si jejaka... warghh...