Random Questions about Capoeira

Thursday, October 04, 2012

Misteri Seluar Dalam Merah

Seman dan Joyah berdua-duaan di taman permainan kanak-kanak. Kedua mereka dengan girangnya bermain jongkang-jongket. Sedang mereka girang bermain jongkang-jongket, Joyah terperasan akan sehelai seluar dalam berwarna merah yang terselit di bawah papan gelungsur.

            “Seman! Kau tengok tu” Joyah menundingkan jari telunjuknya ke arah seluar dalam tersebut.

            “Eh! Seluar dalam merah” Seman membulatkan matanya. Kedua mereka diam seketika.

            “Senang-senang je orang buang spender kan?” Seman menundukkan wajahnya. Wajahnya kelihatan sayu. Joyah berasa hairan.

            “Kenapa tiba-tiba engkau sedih macam orang curi spender kau?”

            “Kau tahu tak, spender yang aku pakai sekarang ni, berlubang-lubang macam kena gigit tikus. Kau pun tahu yang aku kan dari keluarga susah. Nak minta mak aku belikan spender baru pun aku serba salah.” Kini giliran Joyah pula yang berasa sayu.

            “Hmmm… Mama aku ada belikan 3 helai spender baru minggu lepas. Aku tak pakai pun lagi. Kau nak tak aku kasi kau 2 helai?” Joyah bertanya kepada Seman dengan serius.

            “Joyah, kau kan perempuan, aku lelaki. Manalah sama jenis spender kita. Kau ni baik, tapi kadang-kadang aku rasa bengap jugak kau ni.”

            “Ha’ah kan. Maaflah. Aku terlupa yang kau ni lelaki.”  

            Kedua mereka terdiam seketika. Suasana sunyi sepi. Yang kedengaran hanyalah bunyi seekor landak yang mengayuh laju basikal BMX berwarna merah yang dicuri dari kedai basikal Ah Seng pagi tadi. 

            “Aku rasa simpati pada kau Seman.” Perlahan Joyah bersuara.

            “Kenapa?”

            “Sebab kau dilahirkan dari keluarga susah macam ni.” Joyah jujur. Seman senyum.

            “Aku tak rasa sedih pun, malahan aku rasa syukur.”

            “Syukur?”

            “Semua manusia dilahirkan berbeza. Kaya, miskin, bangsa berbeza, agama berbeza, sifat berbeza. Tapi tak semua sempurna. Kau setuju?” Joyah angguk laju bagai burung belatuk.

            “Ada yang kaya tapi hubungan sesama keluarga kacau bilau. Macam aku, aku bersyukur walaupun aku dilahirkan dari keluarga susah, mak ayah aku sentiasa berikan perhatian penuh untuk kami, adik beradik semua, sama rata. Kami adik beradik pula, punya hubungan yang rapat sesama sendiri. Makan sama-sama sebab sentiasa berkongsi makan, belajar sama-sama sebab berkongsi bilik untuk belajar sama-sama, waktu terluang main bersama-sama, cuma mandi je tak mandi bersama-sama.”

            “Kau berkongsi bilik belajar dengan adik beradik kau?” soal Joyah. Seman angguk.

            “Sebab bilik kat rumah tu cuma ada 3 aje. Satu untuk mak ayah aku, lagi satu bilik, mak ayah aku bahagi dua untuk kami tidur sahaja sebab nak jimat elektrik. Bilik belajar tu, ada lampu dan untuk kami adik beradik sembahyang juga.” Joyah terdiam.

            “Kau tahu kan yang aku dari keluarga yang agak berada?” Seman angguk.

            “Tapi, keluarga aku tak bahagia. Daddy aku selalu out station dan aku jarang dapat jumpa daddy aku. Kadang-kadang, bila daddy balik, aku baru nak rasa happy, mama dan daddy bergaduh dekat rumah. Sebab tu aku selalu ajak kau main dengan aku. Pelajaran aku pun terganggu sebab dekat rumah tu aku tak dapat nak fokus. Sebab tu kadang-kadang aku minta kau ajar aku sebab kau punya otak yang geliga. Kalaulah aku boleh minta Tuhan lahirkan aku dalam keluarga kau…”

            “Tak baik kau cakap macam tu Joy.” Joy adalah nama singkatan yang Seman berikan kepada Joyah.

            “Kita sebagai manusia, lebih-lebih lagi Muslim, benda tu boleh mendorong kepada sifat Mazmumah.”

            “Sifat Mazmumah?”

            “Ye. Sifat Mazmumah. Kadang-kadang selepas habis solat dengan keluarga aku, mak suka bercerita tentang banyak perkara pada kitorang. Sifat Mazmumah ni, sifat negatif yang berlawanan dengan sifat Mahmudah, iaitu sifat yang positif. Banyak sangat kalau aku nak berikan contoh sifat-sifat tu.”

            “Mama aku tak pernah pun ceritakan semua ni dekat aku.” Joyah bersuara hambar. Seman senyum.

            “Takpe, sebab tu Allah temukan aku dengan kau. Jadi kita boleh saling membimbing antara satu sama lain.” Seman senyum.

            “Salah satu sifat Mahmudah, rasa bersyukur. Sebab tu walaupun aku dilahirkan dari keluarga yang susah, aku bersyukur sebab Allah itu Maha Adil. Dia lahirkan kesemua kita tidak sempurna contohnya aku. Keluarga susah, tapi Allah berikan aku keluarga yang bahagia, adik beradik yang sentiasa membantu dan menyokong satu sama lain, kasih sayang yang tak berbelah bahagi dari kedua orang tua aku dan bimbingan agama yang cukup.”

            “Dan aku, walaupun dilahirkan dari keluarga yang kaya, otak aku lembab, kurang kasih sayang dari kedua ibu bapa aku, tak punya bimbingan agama yang cukup dan tak merasa bahagia punya adik beradik sebab aku anak tunggal.”

            “Kau tak boleh cakap macam tu Joy. Banyak sungguh sifat Mazmumah kau. Antara sifat Mazmumah, putus asa dan hasad dengki. Kalau kau berfikir macam tu, boleh mendorong kepada sifat hasad dengki tau. Kau kena bersyukur. Walaupun dari segi itu semua kau kurang dari aku, tapi kau punya tempat tinggal yang selesa, kau punya kesenangan hidup. Dari segi agama, kau punya kebolehan membaca bukan? Kau boleh belajar dan dapatkan panduan dari buku agama, dari Ustazah di sekolah. Otak lembap tu sebab kau kurang belajar disebabkan tekanan di rumah. Kau kana da aku, kau boleh belajar dengan aku. Kita belajar sama-sama. Hidup ni mudah Joy, punya banyak jalan untuk kita pilih untuk hidup dengan lebih sempurna asalkan kau punya iman yang kuat, pegangan yang teguh, landasan yang betul dan jauhi sifat-sifat Mazmumah. Insya-Allah kau akan hidup dengan lebih tenang dan bahagia.” 

            Diam.           

            “Betullah apa yang kau cakapkan tu Sem.” Sem pula adalah nama panggilan yang Joyah berikan kepada Seman.

            “Jadi, orang yang tinggalkan spender merah dia tu, punya sifat Mazmumah lah ye?” soal Joyah.

            “Hmmm… Aku pun rasa begitu. Sebab dia tak bersyukur dia ada spender yang tak berlubang, bukan macam spender aku.”

            “Tak pun, itu seluar Superman yang terlucut masa dia terbang melalui kawasan ni?”

            “Mungkin juga.” 

            Joyah dan Seman berjalan meninggalkan taman permainan itu setelah mengibarkan seluar dalam merah tersebut di hujung tiang kayu di tengah-tengah taman permainan tersebut berserta tulisan di bahagian hadapan seluar dalam merah tersebut, “I was here, SUPERMAN” 

 

7 comments:

Asrul "iLham" Sany said...

boleh tahan menarik... ada unsur komikal :D

Gillette Flores said...

Hehehe.
Thanks awak :)

Jna marcello said...

nice1 ;))))

Gillette Flores said...

Hehehe. Kite merepek je ni awak ;p

boni kacak said...

wah..bagus...dalam komedi ada pengajaran2 yang diselitkan..good job :)

Gillette Flores said...

Thanks sebab sudi baca ye awak :)

S said...

quite good writing for a "merepek" post..hehe :)